Rabu, Jun 06, 2012

..:: Berbaik Sangka ::..



Dewasa ini, kita dihidangkan dengan pelbagai cerita, berita, informasi dari segenap sudut. Persoalannya adalah sejauh mana integriti maklumat yang kita terima.

Kisah ini merupakan cerita pendek yang boleh dijadikan tauladan kita bersama dipersembahkan dengan gaya penulisan yang berbeza, mengikut buah fikiran saya yang serba kekurangan ini.....

Cerita ini mengisahkan kehidupan di sebuah kawasan kejiranan antaranya ialah keluarga Pakcik Rahim yang tampak hidup sederhana, punya seorang isteri dan 3 orang anak yang masih bersekolah. Pakcik Rahim berjiran dengan Pakcik Daud seorang kakitangan kerajaan dan punya seorang anak lelaki yang masih bersekolah juga bernama Nazri. Nazri merupakan rakan sekelas anak sulung Pakcik Rahim.

Kisah bermula apabila Pakcik Rahim membeli sebuah tv LCD baru dengan jenama berkualiti. Nazri terlihat akan hal ini bila mana lori sebuah kedai peralatan elektrik di pekan menghantar tv LCD tersebut ke rumah Pakcik Rahim. Seingat Nazri, di rumah Pakcik Rahim ada sebuah tv Toshiba kanta cembung keluaran tahun 1990 yang masih boleh digunakan.

Pada keesokan harinya, ketika berkumpul di padang sebelum bermain bola sepak, Nazri menghebohkan pada rakan-rakan sekampung bahawa Pakcik Rahim seorang yang suka membazir, makan pakai anak pun belum tentu cukup tapi sibuk nak beli tv LCD baru. Dan pelbagai macam lagi bertujuan memburukkan dan menjatuhkan kredibiliti dan akauntabiliti Pakcik Rahim. Nazri sebenarnya semacam ade penyakit hati, kerana tv LCD dirumahnya bukanlah daripada jenama terkenal tambahan pula pada bulan lepas, Nazri membeli sepasang kasut sukan buatan luar negeri jenama Adidas menggunakan wang pemberian ayahnya. Walhal, kasut jenama Bata pun sudah memadai kerana tujuan asalnya hanyalah untuk beriadah sahaja. Apabila ayahnya mendapat tahu tentang perkara ini, maka ayahnya bertegas mahu kasut mahal buatan luar negara itu di jual semula dan ditukar kasut jenama Bata yang jauh lebih murah, berkualiti dan mampu memenuhi tujuan pembelian.

Akibat dari rasa tidak puas hati didalam hati yang membara ibarat api dalam sekam, maka Nazri cuba mengalih tumpuan dan cuba menjadikan situasi Pakcik Rahim umpama situasi dirinya dahulu ketika membeli kasut jenama Adidas. Maka, kumpulan anak-anak muda kejiranan di situ mula memandang serong terhadap Pakcik Rahim.

Walhal, tujuan Pakcik rahim membeli tv baru itu punya lebih dari satu tujuan. Tujuan yang pertama, tv yang lama itu, boleh digunakan untuk anak-anak beliau menonton Astro Tutor TV yang dilanggan beliau untuk memberi pendidikan alternatif pada anak-anaknya. Satu kaedah pembelajaran baru yang lebih santai dan membuang tanggapan bahawa tv tidak elok untuk pelajar sekolah. Ini kerana seandainya teknologi itu digunakan ke arah kebaikan, maka baiklah jadinya, dan jika digunakan ke arah yang tidak baik maka jadilah sebaliknya. Disamping itu, dengan adanya tv LCD yang baru, beliau dapat memberi tumpuan pada isteri ketika bersama-sama menonton rancangan kegemaran mereka suami-isteri tatkala anak-anak menonton siaran Astro Tutor  TV menggunakan tv yang lama. 

Tujuan yang kedua, sahabat karibnya, Roslan baru sahaja membuka kedai peralatan elektrik di pekan. Maka untuk meyokong perniagaan rakan baiknya itu, Pakcik Rahim berminat untuk membeli tv LCD tersebut kerana disamping dapat menggunakan teknologi terkini, beliau dapat membantu rakan baiknya secara tidak langsung. Selain itu, Pakcik Rahim membeli tv LCD lebih sebagai hadiah kepada dirinya sendiri yang gigih bekerja mencari rezeki untuk anak-anaknya dan juga hadiah kepada isterinya yang menjaga kebajikan Pakcik Rahim sekeluarga selama ini.

Dalam pada itu, tanpa pengetahuan jiran-jiran termasuk Nazri, Pakcik Rahim punya harta pusaka tinggalan ayahanda dan nendanya yang terletak di selatan tanah air serta menjadi sumber pendapatan sampingan bagi beliau setiap bulan (kebun sawit 25 ekar). Bagi mengelakkan rasa iri hati orang-ramai termasuk jiran tetangga, beliau memilih untuk hidup sederhana, tapi tidak lupa berzakat dan membantu mereka yang lebih memerlukan. Itu pun dengan membantu dalam berahsia dengan tujuan tidak mahu membenihkan rasa riak dalam diri dan apa yang dilakukannya hanyalah kerana Allah dan tidak sekelumit pun kerana orang lain selain dari penciptanya.

Kerana itu, Islam mengajar kita untuk berbaik sangka sesama saudara kita. Kita perlu menyelidiki "sumber" berita yang kita terima.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(Al-Hujuraat49:6)

Setelah itu, akibat dari tekanan sekeliling yang wujud akibat perbuatan Nazri itu, Pakcik Rahim terpaksa bertegas dengan haknya dan menerangkan sebab musababnya beliau membeli tv LCD tersebut dan sememangnya dari segi ekonomi, beliau mampu untuk membeli tv LCD tersebut. Cuma kerana sifat iri hati dalam diri Nazri, anak-anak muda kejiranan tersebut sudah memandang serong terhadap tindakan Pakcik Rahim. Nazri sedar yang kejahilannya membawa padah hatta membuahkan bibit fitnah... lantas beliau memohon keampunan dari Pakcik Rahim atas kekhilafannya dan mengatakan tindakan beliau hanya untuk menegur. Walhal memburukkan nama seseorang dihadapan orang lain bukanlah tergolong dalam kaedah menegur dan tidak wajar dilakukan oleh seorang Muslim.

Tiada salahnya untuk berfikiran positif (menerima teguran orang dan bukannya menerima fitnah orang ke atas diri kita), namun seandainya orang memijak kepala saudara kita pun kita masih berlagak positif, itu tandanya kita tak punya jati diri lagi dalam hidup kita ini. Dan itu yang wajar dilakukan oleh Pakcik Rahim untuk memperbetulkan tanggapan orang-ramai terhadap dirinya disamping memberi ruang kepada Nazri untuk memperbetulkan kesilapannya. 

Duduk diam tanpa menjernihkan keadaan akan membiarkan saudara-saudara kita terus menerus hanyut dengan dosa fitnah. Maka, anda perlu bangun dan bertindak, bukan hanya duduk dan bantah sahaja.

* Semoga kita terus dilindungi Allah dan mendapat keredhaan serta rahmat Allah sepanjang hidup kita dan dihindarkan dari fitnah Dajjal yang dilaknat...

Tiada ulasan:

ESPNsoccernet

"CeRpen SiTe"